SAUDARA KITA ISTILAH LEBIH SESUAI


Hari ini saya membelek-belek berita Harian Online (05 Ogos 2009)  dan mendapati artikel di bawah cukup memberikan makna dan perlukan perhatian semua pihak.

Sememangnya situasi Muallaf atau Saudara Kita merupakan satu hakikat yang perlu bagi semua umat Islam menyelesaikannya dengan kebijaksanaan dan penuh pemahaman.

Saya petik kembali artikel tersebut:

Saudara kita istilah lebih sesuai

Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my

mainpix1

Konsep bantu-membantu Muhajirin dan Ansar perlu diterapkan bagi ringankan beban mualaf

ISLAM yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW melalui Jibrail tidak disangkal lagi adalah agama yang menolak sebarang bentuk diskriminasi, malah meletakkan penganutnya pada taraf sama tanpa mengira jantina, keturunan, status sosial atau gelaran.

Tempoh melakukan tanggungjawab sebagai Muslim juga bukan menjadi penentu amalan itu diterima, sebaliknya keikhlasan demi mengharapkan keredaan Allah.

Lantaran itu, tiada seorang pun boleh mendabik dada mengaku diri sendiri terbaik semata-mata bergelar Islam sejak lahir dan menganggap saudara baru perlu lebih banyak belajar, sedangkan hakikat yang terhidang di depan mata ketika ini ialah saudara baru lebih mendalami pemahaman mengenai Islam.

Istilah saudara baru, mualaf dan saudara Muslim selalu digunakan untuk merujuk orang bukan Islam yang baru memeluk Islam dan baru bertatih untuk memulakan penghidupan sebagai umat Muhammad.

Istimewanya mualaf ialah kerana mereka termasuk dalam asnaf yang layak menerima zakat dan sebaik mengucap dua kalimah syahadah, keadaan mereka seolah-olah bayi baru lahir yang suci dan bersih daripada dosa.

mainpix2

Namun persoalan yang timbul, lama manakah tempoh istilah itu wajar digunakan. Adakah relevan menggunakan istilah saudara baru atau mualaf untuk merujuk kepada mereka yang sudah berpuluh tahun memeluk Islam?

Ia mungkin kelihatan remeh tetapi penerimaan masyarakat sendiri terhadap golongan itu tidak mencerminkan ajaran Islam sebenar kerana saudara baru dianggap suka meminta-minta dan mengharapkan bantuan.

Islam sebaliknya menyuruh saudara baru ini dibantu dan diberi kemudahan untuk menjalani hidup sebagai orang Islam.

Setiausaha Agung Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Ann Wan Seng @ Ann Abdullah, berkata istilah mualaf membawa makna dan pengertian yang cukup positif tetapi dalam masyarakat ia menjadi bahan lawak dan mengandungi konotasi kurang menyenangkan.

mainpix3

Penggunaan istilah mualaf, katanya, ia sepatutnya bersifat sementara tetapi dalam kebanyakan keadaan ia menjadi identiti kekal kepada golongan bukan Melayu yang memeluk Islam. Begitu juga dengan istilah saudara baru walaupun individu berkenaan sudah berpuluh-puluh tahun memeluk Islam.

Katanya, golongan yang asalnya bukan Islam kemudian memeluk Islam tidak sepatutnya dianggap sebagai kelompok terasing sehingga menyebabkan mereka berasa terpinggir atau dipinggirkan.

“Sebaliknya, kehadiran mereka perlu diterima dengan hati terbuka dan rasa gembira oleh umat Islam lain. Keturunan dan perbezaan latar belakang tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk meletakkan mereka dalam kelas tersendiri.

“Umat Islam perlu memberikan sokongan untuk membantu saudara baru membina keyakinan dan kekuatan diri untuk menghadapi cabaran hidup yang jauh berbeza daripada kehidupan terdahulu. “Pandangan serong terhadap mereka yang baru memeluk Islam menyebabkan mereka berasa kehadiran tidak diperlukan dan dialu-alukan. Sedangkan dalam Islam, tidak sepatutnya wujud perbezaan antara baru atau lama, siapakah ibu bapa dan asalnya.

“Semua itu tidak menjadi penilaian untuk menentukan siapa lebih baik kerana kayu pengukur keislaman seseorang ialah akhlak, iman dan takwa,” katanya.

Ann berkata, mungkin istilah saudara kita dapat memberikan status lebih jelas kepada golongan berkenaan. Malah, ia boleh dianggap satu pengiktirafan kepada golongan berkenaan untuk diterima menjadi sebahagian umat Islam.

“Bagaimanapun, ia tidak begitu diterima oleh kalangan saudara lama atau orang Melayu berikutan masih wujud perasaan ‘perkauman’, cauvinistik dan etnosentrik yang kuat. Ini menyebabkan bukan saja berlaku pengasingan tetapi penolakan terhadap kaum lain untuk diterima sebagai sebahagian umat Islam,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Institut Kajian Hadis Selangor, Mohd Farid Ravi Abdullah, berkata pelbagai cabaran perlu dihadapi saudara Muslim yang serba serbi baru, termasuk nama, gaya hidup dan persekitaran.

Bagaimanapun, tegasnya, cabaran berkenaan sebenarnya mematangkan golongan itu untuk menjadi Muslim yang baik dan paling penting ialah memahami cabaran dan punca serta cara mengatasinya.

“Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian sendiri, saya dapat simpulkan antara cabaran terbesar dihadapi saudara Muslim datangnya daripada anggota keluarga sendiri. Paling ringan ialah menghalau anggota keluarga yang memeluk Islam tetapi ugutan paling sukar dihadapi saudara Muslim ialah ibu atau ayah mengancam membunuh diri jika si anak terus kekal dengan Islam.

“Punca kepada permasalahan ini ialah salah faham orang yang tidak memahami keharmonian yang diterapkan Islam dan mungkin juga ketandusan contoh baik di kalangan orang Islam sendiri. Kita tidak boleh menyalahkan mereka kerana tidak faham Islam dan kita juga sepatutnya berasa bersalah kerana gagal mempromosikan Islam yang sebenarnya,” kata Muhammad Farid.

Beliau turut kesal dengan sikap sesetengah orang yang tidak mengendahkan kewujudan saudara Muslim.

Katanya, golongan itu perlu dilihat sebagai puak Muhajirin, manakala masyarakat Melayu Muslim sebagai Ansar.

“Ia bukan sekadar gelaran semata-mata tetapi perlu dijelmakan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Keistimewaan kekal untuk mualaf

ISTILAH mualaf dikekalkan bagi memastikan saudara baru Muslim mendapat keistimewaan dari segi undang-undang syariah.

Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd Nordin Samah, berkata Majlis Fatwa sudah mengeluarkan fatwa supaya istilah mualaf dikekalkan bagi memastikan saudara baru dapat keistimewaan seperti zakat, sedekah dan Baitulmal sampai bila-bila

Bagaimanapun, katanya Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan sudah memutuskan pada 2005 bahawa dalam Islam tiada sebarang nas yang mewajibkan seseorang yang baru memeluk agama Islam dipanggil mualaf.

“Mualaf bermakna orang yang lembut hatinya menerima Islam. Bagaimanapun, ia cuma untuk urusan rasmi kerana secara umum kita menggunakan istilah saudara Muslim untuk menggambarkan golongan mualaf,” katanya.

Mohd Nordin berkata, istilah mualaf itu dikekalkan kerana ia terdapat dalam enakmen negeri dan jika mahu istilah itu ditukar, ia akan membabitkan pindaan enakmen itu.

“Sebutan dan had tempoh panggilan mualaf ini lebih bersifat urf semata-mata. Namun ada sesetengah negeri seperti Selangor yang mengehadkan istilah mualaf sehingga lima tahun selepas memeluk Islam,” katanya.

Ditanya mengenai gelaran mualaf atau saudara baru menjadikan golongan itu dipandang negatif terutama orang Melayu, Mohd Nordin berkata, orang Melayu sekarang kini lebih terbuka menerima saudara Muslim.

“Peningkatan saudara Muslim saban tahun menyaksikan masyarakat Melayu sudah menerima kehadiran golongan itu sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Ann Wan Seng @ Ann Abdullah turut menggariskan beberapa cabaran yang perlu dihadapi saudara Muslim di Malaysia dalam usaha meningkatkan kedudukan dan masa depan mereka.

Antaranya ialah mengubah persepsi terhadap saudara Muslim yang sekian lama dianggap golongan bermasalah dan suka meminta-minta serta mengharapkan bantuan.

Dalam Islam, katanya, orang susah memang perlu dibantu dan dijaga kebajikannya tetapi saudara Muslim juga perlu berusaha untuk keluar daripada belenggu masalah dengan memperbaiki kedudukan dan masa depan mereka.

“Mereka perlu mempunyai kekuatan dan kesungguhan untuk menjadi seorang insan yang lebih baik selepas memeluk Islam.

“Cabaran seterusnya ialah menjadi Muslim selepas Islam. Ada pelbagai faktor mendorong seseorang itu memeluk Islam. Dalam masyarakat, saudara Muslim sering dicap, dilabel dan dikatakan memeluk Islam untuk berkahwin, mencari kesempatan, mendapatkan kemudahan dan melarikan diri daripada masalah.

“Anggapan itu tidak betul dan menjadi tanggungjawab saudara Muslim membetulkan tanggapan serong itu dengan menanam azam menjadi Muslim yang baik dan teladan kepada Muslim lain walaupun memeluk Islam atas sebab yang disebutkan,” katanya.

Ann turut menekankan kepentingan niat yang jelas memainkan peranan penting dalam kehidupan umat Islam.

Bagi menghapuskan semua prasangka terhadap golongan saudara Muslim, mereka perlu menunjukkan niat yang betul bila dan selepas memeluk Islam.

“Perlu ada keikhlasan untuk menjalani kehidupan serba baru kerana yang penting ialah kesediaan menerima cara hidup baru dan mengubah tabiat lama yang bertentangan dengan Islam.

“Saudara Muslim juga tidak perlu berasa rendah diri, apatah lagi mempunyai anggapan negatif terhadap kedudukan dan statusnya. Pedulikan pandangan dan kata orang kerana yang penting ialah apa Islam kata dan yang diperoleh selepas menjadi Muslim,” katanya.

 

Hak Mualaf

Moral

  • Dijaga kebajikan dari segi rohani iaitu menjaga akidahSosial   
  • Dijaga penghormatan dan kebajikan iaitu memberi panduan menjadikan mualaf sebagai anggota masyarakat yang berguna.
  • Babitkan mereka dalam aktiviti kemasyarakatan
  • Menerima saudara baru seperti saudara sendiri

4 comments on “SAUDARA KITA ISTILAH LEBIH SESUAI

  1. Penggunaan istilah “Saudara Kita” sebagai rujukan kepada “Saudara baru” memang kena pada tempatnya. Istilah ini lebih bersifat universal, mempunyai nilai-nilai sejagat dan berunsur sikap menerima seadanya golongan ini ke dalam kelompok kita tanpa sebarang syarat atau prasangka. Sekali mereka melafazkan kalimah suci (Syahadatain), mereka adalah saudara kita, saudara seagama kita. Istilah “Saudara Kita” dapat menyingkirkan rasa skeptikal mereka terhadap status mereka sebagai orang baru dalam agama ini. Panggilan “Saudara Kita” membuatkan mereka yakin bahawa mereka benar-benar diterima dan berada dalam kelompok umat Islam tanpa mengira samada mereka itu orang lama atau baru. Panggilan “Saudara Kita” juga dapat melenyapkan rasa rendah diri serta serba kekurangan di kalangan mereka yang baru memeluk Islam. Saya difahamkan bahawa pendekatan institusi agama di Malaysia ketika ini ialah menekankan penggunaan istilah “Saudara Kita” berbanding “Saudara baru”.

    Untuk tujuan perundangan, pemakaian istilah “Muallaf” tidak dapat dielakkan. Perkataan Muallaf telah dikanunkan melalui Enakmen Majlis Ugama Islam Negeri Sabah (EMUIS), 2004. Dalam Bahagian VI di bawah tajuk Memeluk Agama Islam, bermula Seksyen 69-79, golongan Saudara Kita ini disebut sebagai Muallaf. Sukacita dinyatakan di bawah ini Seksyen berkaitan yang menjelaskan tafsiran Muallaf dan tanggungjawap mereka:

    Seksyen 70 EKMUIS 2004 berbunyi: Seseorang itu memeluk agama Islam dan menjadi orang Islam sebaik-baik sahaja dia habis mengucap kalimah Syahadah dengan syarat bahawa kehendak-kehendak seksyen 69 adalah dipenuhi; dan orang itu selepas itu disebut Muallaf.

    Seksyen 71 EKMUIS 2004 berbunyi: Dari saat pemelukannya, seorang Muallaf menjadi tertakluk kepada tugas-tugas dan kewajipab-kewajipan yang sama seperti mana-mana orang Islam.

    Seksyen 72 EKMUIS 2004 berbunyi: Majlis (MUIS) hendaklah melantik seorang Pendaftar Muallaf untuk menyengarakan suatu daftar Muallaf dalam bentuk yang ditetapkan untuk pendaftaran Muallaf.

    Berbalik kepada istilah Muallaf, ternyata bahawa 3 seksyen yang disebutkan di atas sudah cukup untuk menyatakan bahawa penggunaan istilah Muallaf kepada mereka yang memeluk agama Islam adalah muktamad untuk tujuan perundangan. Tujuan perundangan ini bermaksud bahawa mereka ini mempunyai tugas dan kewajipan yang sama dengan umat Islam yang sedia ada di Negeri ini. Maknanya, mereka dilindungi undang-undang dan tertakluk kepada undang-undang untuk apa jua tindakan atau perbuatan mereka. Dari segi hukum dan undang-undang, mereka berhak mendapat hak mereka seperti zakat dan lain-lain lagi menurut Syarak dan undang-undang. Andai mereka melanggar undang-undang seperti berkhalwat, meminum arak, berzina dan sebagainya, mereka juga boleh dikenakan tindakan perundangan seperti didakwa di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (EKJS) Negeri Sabah, 1995. Tidak ada bezanya dengan umat Islam lain yang lahir dalam Islam atau telah lama memeluk Islam. Berhubung istilah Saudara Kita, saya melihat bahawa penggunaan istilah ini dalam konteks zaman kini adalah lebih sesuai untuk golongan ini. Tambahan lagi, ia sesuai dengan maksud seksyen 71 di atas yang memperuntukkan bahawa tanggunjawap mereka sebaik menjadi orang Islam adalah sama saja dengan orang-orang Islam yang telah sedia ada.

    Untuk melanjutkan lagi cerita mengenai istilah Saudara Kita, mari kita bermain dengan soalan berikut. Mana yang lebih anda sukai untuk dipanggil apabila kawan anda memperkenalkan anda kepada kawan-kawannya dalam satu majlis? Contohnya begini:

    ”Perkenalkan, ini Ahli baru Kita”

    ”Perkenalkan, ini Ahli Kita”

    ”Perkenalkan, ini Orang Baru Kita”

    ”Perkenalkan, ini Orang Kita”

    Andai saya ditanya soalan di atas untuk memilih mana satu panggilan yang saya suka, saya kira pangilan seperti Ahli Kita dan Orang Kita yang lebih ringan dan mesra dan semestinya saya pilih. Orang seni kita yang unik seperti Ampal juga tanpa was-was telah menggunakan tajuk lagu dan filemnya dengan ”Orang Kita”. Istilah Orang Kita atau Saudara Kita ini kelihatan lebih universal, bersifat kekitaan dan harmoni tanpa melihat perbezaan dari segi rupa, pangkat, kedudukan, warna kulit dan bangsa. Begitulah juga dengan penggunaan istilah ”Saudara Kita” berbanding Saudara baru. Pandangan ini sekadar untuk berkongsi maklumat dan ilmu untuk menyemarakkan lagi semangat kita untuk berkongsi maklumat, idea dan ilmu.

    Akhir sekali, tahniah kepada pustakaalghazali kerana menimbulkan perkara ini.

    Wallau a’lam.

  2. Perkataan “Muallaf” atau yang dijinakkan sememangnya bertaraf sementara sehingga saudara baru kita ini mencapai tempoh pendidikan dan pembelajaran dalam soal2 syariat dsbnya.

    Persoalannya, selepas satu ketika, sebahagian saudara baru ini menjadi lebih arif dalam ilmu agama berbanding sebahagian drp kita, jadi semasa itu siapakah yg lebih relevant dipanggil “muallaf” atau “yang dijinakkan”?

  3. saya amat bersetuju jika Saudara Kita digunakan. lebih sopan dan saya yakin saudara kita juga
    dapat menerima dengan senang hati

  4. Isu ini sudah lama diperkatakan , memang ..dalam akta dan seksyen kanun yang digunakan , istilah mualaf adalah panggilan rasmi pada mereka yang baru memeluk agama Islam , persoalannya adalah adakah panggilan itu mesti kekal selama2nya , meski sudah berpuluh tahun memeluk agama Islam ?

    masalahnya , segelintir kaum di sabah masih kekal memanggil kita mualaf , dengan istilah itu mereka memandang sinis dan memandang rendah pada kita , mereka merasa lebih hebat dan lebih Islamik berbanding kita walaupun hakikatnya mereka baca Fatihah pun lintang pukang ..

    pada mereka diatas sana yang punya nama dan kuasa , buatlah sesuatu yang boleh merubah semua ini , istilah Mualaf ada unsur2 merendahkan seseorang , ada unsur2 tipikal ..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s