NILAI KEJUJURAN DALAM RUMAHTANGGA


Dipetik dari http://erakita.wordpress.com/

JUJUR adalah aset yang paling mahal dalam rumahtangga. Sekali bohong, pasangan akan menaruh syak atau curiga kepada pasangannya. Tanpa memberi tafsiran dan penerangan kepada konsep kejujuran, penulis terpanggil untuk berkongsi dengan anda semua dengan satu cerita ringkas yang penulis perolehi melalui kiriman SMS 2 tahun lepas. Cerita ini ringkas sahaja tetapi mempunyai signifikan tersendiri dalam konteks pemantapan rumahtangga. Ceritanya begini:

Satu hari, seorang Tuan (Majikan) marah-marah pada pembantu rumahnya.  Katanya, ”sudah aku kata, jangan beritahu Puan (isteri Majikan) pukul berapa aku pulang malam tadi! Kenapa kau cakap juga?” Jawap si Pembantu Rumah, ”maaf Tuan, saya langsung tidak sebut waktunya. Saya cuma cakap, waktu Tuan pulang, saya sedang ambil air sembahnyang untuk solat subuh. Maaf Tuan, waktu itu saya benar-benar tidak sempat tengok jam” Jawab si Pembantu.

Saudara, kisah ini nampak ringkas. Namun, kewarasan kita membuatkan kita berfikir sejenak dan boleh menyebabkan kita tersenyum kalaupun bukan ketawa terbahak-bahak. Apa tidaknya, si pembantu rumah kelihatannya terlalu jujur dan taat pada tuannya. Namun kejujuran dan ketaatannya itu juga hampir pasti memudaratkan dan membahayakan kedudukan rumahtangga tuannya.

Rupa-rupanya, kejujuran pembantu benar-benar membawa padah kepada majikannya. Mengapa tidak begitu? Pembantu itu tidak sedar bahawa ungkapan jujurnya kepada tuannya yang berbunyi ”saya cuma cakap, ketika Tuan pulang, saya sedang ambil air sembahnyang untuk solat subuh” itulah bahagian kenyataannya yang sebenar-benarnya membuatkan isterinya iaitu Puan, mengetahui dengan lebih jelas bahawa suaminya keluar malam dan balik sehingga jam 5.00 pagi.

Bagi si isteri, ia akan berfikir dan bertanya pada dirinya sendiri “takkanlah kenduri sampai jam 5.00 pagi!”, ”takkanlah minum di warung sampai 5.00 pagi”, “takkanlah ziarah kawan sampai jam 5.00 pagi”, “takkanlah main futsal sampai jam 5.00 pagi”, “takkanlah main golf sampai jam 5.00 pagi!” atau “takkanlah pergi ceramah sampai jam 5.00 pagi!”. Hah!, macam-macam benda dalam fikiran si isteri waktu itu. Semua persoalan yang bermain dalam fikiran isteri di atas menghasilkan jawapan yang satu.

Jawapannya adalah jawapan NEGATIF. Ia negatif kerana fikiran isteri kini dimomokkan dengan andaian-andaian yang kuat seperti “jangan-jangan, suami ke pub atau kelab malam”, “jangan-jangan suami ke kedai billiard”, “jangan-jangan suami main judi”, “jangan-jangan suami ke hotel bersama perempuan simpanan”, “jangan-jangan suami bermain kayu tiga”, “jangan-jangan suami ada CAWANGAN BARU” dan pelbagai lagi andaian yang sama waktu dengannya.

Bukankah apabila pembantu rumah mengatakan kepada isteri tuannya bahawa tuannya pulang ketika pembantu sedang ambil air sembahyang untuk solat subuh, itu tandanya sudah sampai waktunya solat subuh. Solat subuh lazimnya telah masuk sekitar jam 5.00 pagi. Satu lagi alasan yang menguatkan keyakinan kita bahawa suami pulang jam 5.00 pagi ialah, sebagai pembantu rumah, sudah jadi tugas dan adatnya, ia kena bangun awal, kalau boleh lebih awal daripada majikan untuk menyediakan keperluan keluarga seperti sarapan pagi, mengosok baju dan lain-lain tugas di dapur.

Cerita ini lebih kurang samanya dengan kisah dalam Nujum Pak Belalang, filem dan arahan P Ramlee. Dalam filem itu si Belalang begitu jujur dengan mengatakan lebih kurang begini: “Bapa saya kata, kalau mereka cari bapa, katakan saja, bapa tiada di rumah”.

Berbalik kepada kisah Tuan dan Pembantu Rumah tadi, andai kata kisah ini benar-benar berlaku lebih kurang seminggu atau 2 minggu lepas, kita boleh membuat andaian atau jangkaan akan apa yang sudahpun berlaku kepada rumahtangga MAJIKAN tadi. Tidak mustahil, gempa bumi rumahtangga sudah berlaku. Tidak mustahil, tsunami rumahtangga sudah berlaku. Tidak mustahil, isteri sudah keluar lari dari rumah.

Tidak mustahil, suami sudah melafazkan cerai ke atas isterinya. Tidak mustahil, isteri sudah jumpa peguam syarie untuk menuntut cerai. Tidak mustahil, isteri sudah ada di balai polis melaporkan kecederaan atas pukulan suami. Tidak mustahil, isteri masih lagi menjalankan rawatan di hospital akibat kecederaan dipukul suami. Tidak mustahil, hand set si suami telahpun dipecahkan oleh isteri.

Tidak mustahil isteri sudah di rumah orang tuanya. Tidak mustahil suami sudah tidak makan nasi beberapa hari kerana isteri sudah lari dari rumah. Tidak mustahil, suami sudah tidak datang kerja beberapa hari tanpa sebab. Tidak mustahil, suami sedang direman dalam tahanan polis gara-gara memukul isteri. Tidak mustahil.. ah, cukuplah untuk memberikan pelbagai mustahil di sini kerana semuanya tidak mustahil untuk terjadi.

Saudara, ini semua secara ringkasnya, kita boleh katakan sebagai konflik rumahtangga. Ya, inilah dia konflik rumahtangga. Puncanya, suami tidak berlaku jujur. Puncanya, suami mengkhianati kepercayaan isterinya. Satu pengajaran penting, berlaku jujurlah pada pasangan kita. Sekali kepercayaan pasangan dikhianati, terimalah akibatnya. Akibatnya cukup berat sepertimana yang disebutkan di atas.

Ingatlah! Kejujuran itu benar-benar  tinggi nilainya dalam rumahtangga kita. Ingatlah! Kejujuran sesungguhnya telah banyak menyelamatkan nyawa rumahtangga manusia. Ingatlah dan Percayalah!

SAUDARA, BERLAKU JUJURLAH DALAM RUMAHTANGGA!

kerana

“KEJUJURAN MENJANA KEBAHAGIAAN RUMAHTANGGA”

By pustakaalghazali Posted in Keluarga