IHYA RAMADHAN DI SURAU KG. TAMPASAK LIWAN TAMBUNAN


Sempena bulan Ramadhan Al-mubarak tahun ini, Kampung  Tampasak Liwan adalah merupakan salah satu destinasi Program Ihya Ramadhan yang telah dipilih oleh USIA Bahagian Tambunan.

Pada 9 September 2009 (Khamis), lebih kurang jam 5.40 petang, saya dan seorang rakan Mohd Fikri bertolak menuju ke Kampung Tampasak Liwan, Tambunan. Meskipun saya orang Tambunan, namun belum pernah menjejakkan kaki ke kampung tersebut.

Peluang ini saya jadikan alasan untuk sampai walaupun pada awalnya saya teragak-agak untuk pergi seorang diri. Maklum saja apabila mendengar cerita rakan-rakan kedudukan kampung tersebut yang jauh dan jalanrayanya juga agak mencabar. Mujur juga saat-saat akhir, saudara Fikri mempunyai kelapangan untuk turut serta.

Mengambil masa lebih kurang 40 minit untuk sampai dengan perjalanan mengharungi sungai, bukit- bukau dan lurah..(Kalau kenderaan tidak cukup ok..jangan cuba main berani.. sistem ‘brek’ dan ‘clutch’ mesti sempurna….o) akhirnya kami sampai di hadapan surau Kampung  Tampasak lebih kurang 6.25 petang. Ketika itu ahli jemaah kg sudahpun mula berbuka puasa. Mujur juga tidak sesat jalan sebab kami sebenarnya tidak begitu pasti arah tuju ke kg ini.

Saya amat terpegun dan terharu melihat kerjasama dan persefahaman yang dipamerkan oleh saudara-saudara kita disini.

Ini jelas digambarkan dari cara penyediaan jamuan berbuka yang mereka hidangkan. Hidangan ‘pot luck’ yang disajikan dengan masakan cara kampung (daging payau/rusa, ikan pelian, hinava, sayur pakis dan macam-macam lagi)amat menyelerakan kami, meskipun berlampukan ‘lampu pump’.

Sedih juga, tiang letrik dah ada tapi kg tersebut masih dalam kegelapan kerana saya difahamkan wang deposit untuk ‘wirering’ rumah-rumah di kampung tersebut dibawa lari oleh tukang wirering yang diamanahkan. Semoga individu ini mendapat kesedaran dan hidayah dari Allah SWT..untuk memulangkan hak penduduk di sini.

Selepas berbuka dengan jamuan ala kadar, kami melaksanakan solat Fardhu Maghrib berjemaah dan selepas itu sedikit tazkirah ringkas dan penerangan berkenaan hala tuju USIA Bahagian Tambunan (sebagaimana yang dipesankan kepada saya oleh Ketua USIA Tambunan, Saudara Jumain Abdul Ghani).

Sejurus selepas itu, barulah kami menikmati jamuan berat dengan menu pot luck yang saya sebutkan di atas..

Program di kampung ini berakhir lebih kurang pukul 9.00 malam dan kami memohon diri untuk berangkat pulang.

Sukar untuk digambarkan pengalaman baru yang saya perolehi dari kunjungan ini. Dalam keadaan negara kita yang sudah sekian abad merdeka, ingatkan tidak ada lagi rakyat di negara ini yang hidup serba kekurangan seperti ini.

Kanak-kanak disini masih berulang alik ke sekolah berjalan kaki sejauh 5-6 km sehari. Bukan berjalan di jalan rata tetapi terpaksa memerah keringat mendaki dan menuruni lurah.

Rasanya tidak ada alasan untuk mengenepikan hak segelintir rakyat untuk mengecapi apa yang dikatakan kemajuan. Sesuatu harus dilakukan oleh pihak-pihak berwajib agar nanti tanggung-jawab anda tidak dipersoalkan. Bukan hanya dari rakyat TERPINGGIR  tetapi juga dari Allah SWT.

tampasak1

Tampasak2

Tampasak3

Tampasak4

Catatan:
Cikgu Azmi Haji Sidik
Timbalan Ketua USIA Bahagian Tambunan