KALIMAH ALLAH DIJADIKAN DAYA PENARIK


Ustaz Abu Huraira

Alasan penganut agama Kristian di negeri ini tidak tahu berbahasa Inggeris bagi membolehkan pihak gereja menggunakan nama Allah, tidak tepat dan tidak boleh diterima.

Pengarah Dakwah Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Abuhuraira Abdurrahman (gambar) berkata, sebaliknya kalimah tersebut sebenarnya digunakan sebagai daya penarik terhadap ajaran agama berkenaan.

“Itu bukan alasan (tidak tahu berbahasa Inggeris). Sebenarnya tidak perlu guna kalimah Allah untuk nyatakan Tuhan kerana sebelum ini pun mereka gunakan perkataan God atau dalam bahasa Melayunya, Tuhan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis lalu menerusi Hakim Datuk Lau Bee Lan yang membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya atas alasan ia mempunyai hak dalam Perlembagaan.

Ekoran itu, terdapat pihak gereja menggunakan alasan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak tidak tahu berbahasa Inggeris bagi membolehkan perkataan itu digunakan.

Menurut Abu Huraira, penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan berkenaan adalah tidak wajar dan akan memberi kesan negatif kepada umat Islam.

Jelasnya, meskipun mahkamah menetapkan ia hanya untuk digunakan penganut Kristian tetapi edarannya tidak akan terlepas dan dibaca semua pihak seterusnya mengelirukan umat Islam.

“Masalahnya ia sudah digazetkan sebagai berita jadi semua orang boleh baca. Contohnya, seperti majalah Sinar USIA, untuk ahli USIA sahaja tetapi dibaca semua pihak walaupun dia bukan ahli USIA,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang pernah beberapa kali melakukan perdebatan agama termasuk dengan paderi dari Vatican City di Itali berkata, kalimah Allah di dalam al-Quran jauh berbeza dengan Tuhan penganut Kristian.

Malah beliau yang mampu menghafal al-Quran dan Injil berkata, dalam kitab Injil asal sendiri tiada penggunaan nama Allah tetapi hanya beberapa perkataan seperti ‘I am.’

“Dalam al-Quran, Allah tidak boleh beranak dan diperanakkan tetapi dalam Injil (Tuhan) lahirkan Jesus sebagai anak malah dalam Injil, hari ketujuh Tuhan rehat, tetapi tidak dalam al-Quran,” katanya.

Dipetik daripada Berita Online