TIDAK MUDAH DILUPAKAN


Selasa lepas (15 Februari 2010) saya singgah ke Pekan Tambunan sebelum ke Kota Kinabalu.

Terasa tiada apa-apa yang besar dilakukan, saya singgah sebentar di Masjid Daerah Tambunan. Maklumlah dah 2 minggu tidak berkunjung ke masjid ini.

Saya mengambil peluang memasuki perkarangan rumah kediaman arwah Tuan Guru Haji Ahmad darbi Lubis.

Sedih dan sayu melihat keadaan rumah yang pernah menjadi kunjungan ramai suatu ketika dulu.  Sekitar tahun 1986-1989, saya sendiri selalu ke rumah ini sama ada atas urusan gotong royong mahupun urusan pelajar pelajaran.

Di rumah inilah, setamatnya peperiksaan darjah 6 SUIS untuk sijil Ibtidaie, saya dan sahabat lain berkerja keras berguru dengan Allahyarham untuk menamatkan pelajaran Isim 14 dan pelajaran berkaitan kaedah-kaedah bahasa arab pada saat-saat akhir untuk melanjutkan pelajaran ke Kelantan.

Maka tidak hairanlah, bilamana sampai ke Kelantan, saya dan tujuh orang kawan terus dinaikkan ke Tingkatan 4. Bayangkan hanya dengan belajar di SUIS Tambunan, sudah berkebolehan meletakkan baris pada kalimah arab yang tidak berbaris:).

Sesuatu yang paling saya tidak lupakan!

Mana sudah hilang sahabat saya Ahmad Sahidi Dulasin (kini cikgu), Sailin Nasin (kini juruteknik), Ramli Ruslan (kini Ustaz) dan lain-lain.

Alhamdulillah, yang saya pasti semua yang pernah berguru di rumah Allahyarham selepas Solat Isyak semua sudah berjaya!.

Kini rumah berkenaan lengang.

Namun berita terkini yang diperolehi, sementara rumah tersebut belum didiami maka ia akan digunakan sebagai pusat aktiviti USIA Bahagian Tambunan. Terutamanya berkaitan pengajian dan pembelajaran.

Saya telah perolehi banyak bahan untuk membukukan perjalanan hidup Allahyarham untuk tatapan generasi mendatang. Doakan semuanya sukses.