TAMBAH NILAI CELCOM RM10.50


Sebentar tadi sesudah balik kerja, bersama dengan sahabat saya  Aslee Keek Wahab berkunjung ke Bangunan Centre Point, Kota Kinabalu.

Selepas  memenuhi apa yang dihajati, singgah sebentar di kedai menjual reload untuk kegunaan sendiri.

Saya memesan kad prabayar berharga RM10.00. Dan kebiasaannya, penjual dan pembeli tanpa banyak soal sepakat harganya memang RM10.00 (Ringgit Malaysia: Sepuluh Sahaja).

Namun, selepas menghulurkan RM 10.00, penjual sekali lagi meminta tambahan RM0.50 (Sen: Lima Puluh). Bererti harga reload tersebut adalah sebanyak RM10.50!

Saya tanya taukeh kenapa mesti bayar lebih. Dia menjawab dengan jawapan yang saya pun tidak berapa faham malah tidak ambil tahu pun. Saya juga sempat mengajukan pertanyaan adakah mereka mendapat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna. Hanya senyuman sinis tanpa jawapan yang dihulurkan!

Setahu saya, perbuatan menaikkan harga reload ini telah pun mendapat liputan dan bantahan awam suatu ketika dulu. Sebagai bukti dan fakta lihat Utusan Malaysia bertarikh 11/02/2008!

Hakikatnya, apalah juga banyaknya dengan tambahan RM0.50 tersebut!. Cuma sikap sesetengah penjual yang mengambil kesempatan itulah dikesali. Bukankah keuntungan jualan sudah pun diperolehi pada harga yang ditetapkan.

Mungkin perlu bagi pihak berkaitan menjalankan intipan dan penyamaran untuk membendung kegiatan tidak sihat di kalangan penjual ini.  Manakala penjual yang didapati menaikkan harga reload tersebut dengan sesuka hati boleh didakwa di bawah Seksyen 12, Akta Perlindungan Pengguna (APP) 1999 boleh didenda maksimum RM50,000!

Petikan berita:

Harian Metro : Kad tambah nilai masih dijual mahal

Thursday, 10 September 2009 12:12

KUALA LUMPUR: Degil ungkapan tepat menggambarkan sikap segelintir peniaga di Perhentian Puduraya di sini, yang masih menjual kad tambah nilai pada harga lebih mahal daripada ditetapkan di pasaran.

Walaupun berulang kali dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, kebanyakan peniaga ini biasanya akan menjual kad tambah nilai talian telefon prabayar bernilai RM10 pada harga melebihi ditetapkan iaitu pada kadar RM10.50 atau RM11 berbanding harga siling ditetapkan.

Tinjauan Harian Metro tengah hari semalam, mendapati kebanyakan peniaga wanita yang kebanyakan warga asing menjual kad tambah nilai itu pada harga melampau.

Sepanjang dua jam menjalankan penyamaran, lima dari enam peniaga yang didekati didapati menjual kad prabayar itu melebihi nilai ditetapkan.

Wartawan Harian Metro yang mempersoalkan tindakan peniaga terbabit bagaimanapun, dicemuh dengan kata-kata antaranya: “Kalau nak murah…awak pergi cari kedai lain..di sini (Puduraya) semua jual harga sama.”

Seorang lagi peniaga yang dihampiri memberitahu terpaksa menjual kad tambah nilai pada harga RM10.50 kerana mereka hanya mendapat keuntungan 10 sen sahaja bagi setiap keping kad tambah nilai yang dijual pada harga RM10 sahaja.

“Tauke kata untung 10 sen itu sikit sangat. Kalau jual 50 keping sehari pun…tak balik modal. Kalau abang nak beli saya cuma boleh bagi RM10.50 sahaja,” kata seorang gadis Indonesia.

Gadis terbabit yang sudah dua tahun bekerja sebagai pembantu gerai di Puduraya mendakwa diarahkan majikannya menjual kad prabayar pada harga lebih 50 sen atau RM1 mengikut suasana semasa.

“Jika tuan punya kedai menjual makanan ringan lain menaikkan harga, kami juga terpaksa ikut sama menaikkan harga kad tambah nilai,” katanya.

Sepanjang dua jam melakukan penyamaran, wartawan Harian Metro menghabiskan RM43 bagi membeli empat keping kad tambah nilai pelbagai syarikat telekomunikasi melalui empat jurujual berasingan.

Sementara itu Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan, Othman Nawang berkata, pihaknya kerap menerima aduan daripada pengguna berhubung penipuan harga kad tambah nilai berkenaan dan tindakan sudah diambil.

Menurutnya, berdasarkan maklumat diperoleh, seramai 10 pegawai KPDNHEP yang dipecahkan kepada tiga pasukan membuat serbuan serentak di perhentian Puduraya, kelmarin.

Dalam serbuan jam 11 pagi itu, seramai tiga peniaga di kawasan terbabit ditahan dan disoal siasat selepas didapati menjual kad tambah nilai melebihi harga pasaran ditetapkan.

“Siasatan sebelum ini mendapati kebanyakan peniaga berkenaan masih berdegil dan menjual kad tambah nilai pada harga melampau walaupun pernah diberi amaran berulang kali.

“Berikutan itu, pegawai KPDNHEP yang menjalankan pemeriksaan merampas 439 keping kad tambah nilai pelbagai nilai yang semuanya berjumlah RM4,420,” katanya.

Difahamkan individu atau syarikat yang menjual kad tambah nilai atau prabayar pada harga melebihi ditetapkan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 atau Akta Perihal Dagangan 1972 yang boleh dikenakan hukuman dengan tidak lebih RM100,000.

“Pihak KPDNHEP akan meneruskan operasi dan mengambil tindakan terhadap peniaga yang melakukan kesalahan berkenaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pejabat KPDNHEP Wilayah Persekutuan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Advertisements

AL-FADHIL USTAZ SHARHAN SYAFIE


Alhamdulillah akhirnya saya ketemu juga sahabat saya yang sudah hampir 10 tahun berpisah.

Pertemuan berlaku di Masjid Al-Taqwa Keningau, kebetulan beliau sedang memberikan rawatan kepada pesakit sekitar Bahagian Pedalaman Atas. Majlis ini dianjurkan bersama oleh Hospital Keningau dan Jawatankuasa Masjid Al-Taqwa Keningau.

Sahabat yang saya maksudkan adalah Al-Fadhil Ustaz Sharhan Syafie yang merupakan seorang pakar perubatan Islam.

Beliau sudah tidak asing lagi di Malaysia ini. Beliau telah menjelajah ke seluruh pelusuk tanah air untuk menyampaikan ceramah, bengkel dan pengubatan Islam.

Beliau merupakan sahabat saya ketika sama-sama berada di Maahad Muhammadi (Lilbanin) Kota Bharu pada tahun 1994.

Tiga tahun kemudian bertemu pula semula  di Mesir. Namun beliau mempunyai minat yang mendalam mengenai perubatan Islam lalu berguru dengan alim ulamak yang terkenal di sana.

Secara ringkas mengenai Al-Fadhil Ustaz Sharhan Syafie

AL-FADHIL USTAZ SHARHAN SHAFIE adalah pengamal perubatan Islam yang telah lama bergiat aktif dalam mengubati pesakit-pesakit misteri gangguan jin & syaitan.

Beliau berasal daripada Machang, Kelantan. Mendapat pendidikan awal di Sek. Keb. Air Merah dan Sek. Men. Arab Shamsul Maarif. Kemudian beliau menyambung pengajian tinggi di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) Terengganu dalam jurusan Bahasa Arab. Selepas itu menyambung pelajarannya ke Mesir selama 3 tahun.

Beliau mendapat belaian tarbiyyah secara langsung daripada gurunya bernama SYEIKH WAHID ABDUS SALAM BALI (tersohor di kalangan para mua’lij perubatan Islam).

Beliau pernah menuntut ilmu dengan guru-guru yang tersohor dalam perubatan Islam seperti di KAFUR-SYEIKH (Mesir), TANTA, DASUK dan MANSIYATUL ABBAS selama 6 bulan.

Kini beliau mempunyai 1000 anak murid di seluruh tanah air yang mengikuti pengajiannya. Selain mengadakan kuliah dan kelas komprehensif, beliau turut membuat pembentangan kertas kerja mengenai Perubatan Islam menangkis kejahatan Ilmu Hitam di Institut Pengajian Tinggi seluruh Malaysia.

Berita mengenai pengamalan perubatan beliau turut disiarkan didalam surat khabar Mesir apabila beliau berjaya mengubati seorang peguam yang diganggu jin wanita yang berusia 2000 tahun (jin yang wujud pada zaman fir’aun laknatullah).

Dengan kemahiran beliau mengenai selok belok perubatan Islam, adalah diharapkan masyarakat kita dapat mengambil manfaat dari setiap seminar/bengkel yang dijalankan.

Seminar/Bengkel/Pembentangan Kertas Kerja yang beliau telah adakan

  • Rahsia Perubatan Islam/Menyingkap Rahsia Jin & Syaitan (Alam Jin).
  • Menangkis kejahatan Ilmu Hitam (JENIS SIHIR)/Angkara Jin /sihir Rumahtangga Hancur.
  • Penyakit gila, Barah, Lumpuh (Rihul Akhmar) & Penyembuhan.
  • Santau, Racun & Rawatan.
  • Pukau & Benteng diri.
  • Menyingkap Rahsia Saka & Keturunan.
  • Histeria, Rasuk & Rawatan.
  • Susuk, jenis susuk, Tanda-Tanda & Rawatan.
  • Pagar Rumah & Benteng diri.
  • Ciri-ciri seorang Mua’lij (Perawat) & Kaedah rawatan.
  • AL-QURAN sebagai panduan/penawar.
  • Rahsia Air/Air Zam-Zam, Madu Lebah & Habattus Sauda.
  • Ayat-Ayat Ruqyah/Pengijazahan.

Untuk berhubung dengan Al-Fadhil Ustaz Sharhan Syafie sila layari laman web beliau.

 

MELAWAT DEWAN SRI LIBARAN, SANDAKAN


Dewan Libaran Sandakan

Seawal jam 7.30 pagi, bersama dengan sahabat Tuan Haji Sotimin Sarun, Tuan Haji Hassan Wahab dan Ustaz Abdul Rahman Haji Talipuddin bertolak ke Sandakan menaiki pesawat Boieng 737.

Tujuannya untuk menyertai lawatan ke Dewan Sri Libaran dan seterusnya mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri yang dijangkan diadakan pada 29 April 2010.

Dewan yang cantik ini mampu menampung seramai 2000 orang dalam satu-satu masa. Malah menjadi tumpuan kerana hanya beberapa meter sahaja dengan jarak rumah kediaman Ketua Menteri Sabah.

Selepas mesyuarat kami berempat ke restoran yang terletak di kawasan Sim-Sim. Sim-Sim memang terkenal dengan keenakan ikan panggang.

Ini merupakan kali kedua saya ke lokasi ini sejak 2007, dimana ketika itu Daerah Sandakan merupakan tuan rumah Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW.

Selesai menunaikan tanggungjawab..