REKABENTUK ASTAKA MAJLIS TILAWAH AL-QURAN PERINGKAT ANTARABANGSA 2010


Rekabentuk Astaka Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2010.

Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa akan diadakan pada 27 Julai hingga 03 Ogos 2010

Pada setiap tahun apabila berlangsungnya acara Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) Peringkat Antarabangsa, JKR WPKL akan ditugaskan untuk menyediakan rekabentuk astaka dengan tema yang disediakan oleh pihak JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia). Untuk tahun ini tema yang diberikan ialah “Memantapkan Ukhwah Memperkasakan Ummah”. Berpandukan daripada tema ini JKR WPKL telah mencadangkan 4 konsep dan rekabentuk untuk dipilih oleh pihak JAKIM.

Rekabentuk 1 disediakan oleh Puan Noraiyu Buang.

Secara ringkasnya konsep ini berasaskan tema pada tahun ini iaitu “Memantapkan Ukhwah Memperkasakan Ummah”. Dua isu yang cuba diketengahkan ialah , pertama perpaduan ummah diseluruh dunia di dalam menghadapi musuh-musuh Islam yang berusaha unutk memecah belah dan menafikan hak-hak orang Islam. Isu kedua, Islam itu adalah sumber kekuatan, keteguhan ummah dan ketinggian ilmu dan ketamadunan yang tinggi. Kekuatan ummah terletak kepada kesungguhan ummah di dalam memperjuangkan dan memelihara agama Allah yang diredhai.

Rekabentuk Astaka di mana pentasnya berbentuk kapal adalah berilhamkan kepada perjuangan pembebasan Al-Aqsa dan semangat juang gerombolan bantuan Flotilla Gaza yang terdiri daripada pelbagai negara, bangsa dan agama. Maka sudah tiba masanya , semua ummah bersatu padu di dalam mempertahankan agama Islam. Ummah Islam perlu bangkit mempertahankan tanah, kehormatan dan keperibadian setiap kepunyaan Islam.

Arca jambatan pula melambangkan ikatan-ikatan keakraban dari ummah seluruh dunia, bersatu dan tidak berpecah belah, seperti firman Allah di alam surah Al-Imran ayat 103, yang antaranya bermaksud ” Berpegang teguhlah kamu kepada jalan Allah dan janganlah kamu berpecah belah ” . Kekuatan ummah Islam terletak kepada keimanan yang jitu seperti petikan dari kata-kata Prof. Dr. Yusof Al-Qardawi, agama Islam itu adalah agama yang menggerakkan rakyat, menjadi sumber kekuatan. Umat yang berpegang kepada agama ini tidak pernah satu hari pun mengalami kakalahan atau kemunduran.

Pentas Al-Quran yang bercahaya sewaktu bacaan Al-Quran dialunkan , memberikan stigma cahaya kebenaran jika semua ummah bersatu padu dan berpegang kepada Al- quran dan Sunnah.

 
 
 
 
 

 

Rekabentuk 2 disediakan oleh En. Halami Aman Mohd Mokhtar.

Secara ringkasnya konsep ini berkisar kepada suasana visual setempat masyarakat Islam melalui amalan dan pengaruh perilaku dalam kehidupan seharian. Unsur-unsur ini digubah di dalam rekabentuk astaka pada pelan susun atur melalui bentuk terjemahan rehal dan juga pergerakan sepusat ibadat haji yang dilaksanakan oleh umat Islam pada setiap tahun. Rehal yang sinonim sebagai alas kitab atau buku menjadi simbol pembangunan ummah melalui pemerkasaan ilmu manakala ibadah haji merupakan salah satu ibadah yang dituntut di dalam Islam melahirkan satu jalinan persaudaraan agama seluruh masyarakat dunia. Daripada kedua-dua unsur tadi maka dikembangkan lagi rekabentuk astaka seperti mana yang dapat dilihat pada lukisan perspektif idea arkitek yang dipaparkan.

 

 Rekabentuk 3 disediakan oleh Cik Hafsah Sakinah Yahya.

Idea dan konsep bagi cadangan rekabentuk ini adalah berlandaskan ayat ke-99, surah al-An-am. Allah SWT telah berfirman tentang kejadian tumbuhan-tumbuhan yang melalui berbagai proses sebelum dapat memberi manfaat kepada makhluk lain. Arkitek menterjemahkan ayat tersebut dengan memasukkan elemen utama yang menjadi titik tumpu keseluruhan rekabentuk iaitu pentas qari’ dan qari’ah yang direkabentuk dengan simbol pucuk tumbuhan dan dikelilingi elemen panel-panel pelbagai saiz yang direkabentuk seakan daun-daunan, disusun secara berlapis dan bertingkat. Warna hijau dan biru yang dipilih pula melambangkan keharmonian yang ingin dicapai dalam keadaan ini. Rekabentuk keseluruhan menggambarkan umat pelbagai bangsa yang perlu bersatu dan fokus dalam menyokong perkembangan generasi muda dengan mendidik mereka dengan ilmu-ilmu agama. Sekaligus ini dapat dikaitkan dengan tema tilawah Al-Quran kali ke-52, ‘Memantap Ukhwah Memperkasa Ummah’.

 

 

Rekabentuk 4 disediakan oleh En. Ismed Chayadie Che Din.

Secara ringkasnya konsep ini cuba menterjemahkan tema tahun ini dengan kesan impak visual yang nyata melalui rekabentuk pentas qari & qari’ah yang ringkas tetapi menonjol. Bagi mencapai tujuan ini, rekabentuk pentas qari & qari’ah mengambil inspirasi dari bentuk kaabah sebagai kiblat umat Islam seluruh dunia. Pentas qari & qari’ah ini akan mengeluarkan cahaya ketika qari & qari’ah mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran melalui kesan pencahayaan khas yang cuba mengintepretasi Al-Quran sebagai cahaya penyuluh kehidupan sesuai dengan tema tahun ini. Pentas qari & qari’ah ini juga bersatu dengan elemen latarbelakang pentas keseluruhan yang mempunyai motif rawak menggambarkan kepelbagaian umat Islam seluruh dunia. Dengan menyatukan idea-idea ini iaitu bentuk pentas qari & qari’ah yang mengambil inspirasi kaabah, latarbelakang pentas yang menggunakan motif rawak dan yang paling utama kesan pencahayaan khas bagi menggambarkan Al-Quran sebagai penyuluh hidup, ia diolah bagi mendapatkan rekabentuk seperti yang dipaparkan.

 

 

 

Setelah sesi pembentangan pada Jawatankuasa Pemilih JAKIM diadakan pada 21 Jun 2010, Rekabentuk 1 dan 2 telah dipilih untuk disenarai pendek. Pada 24 Jun 2010, Pengarah JKR WPKL ,Ir. Hj Adanan Sukri bin Musa dengan dibantu oleh Puan Noraiyu binti Buang ( PP Akitek), En. Halami Aman bin Mohd Mokhtar ( PP Akitek), En. Zuhairi bin Manaf ( KPP Akitek ) dan En Abd. Rashid Abd. Rahman (KPP Senggara) telah memberi penerangan dan taklimat ringkas pada YB Senator Dato’ Seri Mejar Jeneral Jamil Khir bin Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

YB Senator Dato’ Seri Mejar Jeneral Jamil Khir bin Baharom (B) amat berpuas hati dengan taklimat dan penerangan yang telah dibuat dan bersetuju untuk memilih Astaka Rekabentuk 1 sebagai Astaka MTQ secara rasmi. Tahniah diucapkan kepada Puan Noraiyu binti Buang di atas rekabentuk puan yang terpilih untuk tahun ini.

Sumber: http://wpkl.jkr.gov.my/?p=3811

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s