Alhamdulillah hari ini saya menghadiri Mesyuarat Persediaan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah 1436H/2014M yang diadakan di Bilik Madani Wisma MUIS Kota Kinabalu.
Kali ini, urusetia mesyuarat ini telah diamanahkan kepada sahabat saya Tuan Haji Sotimin Sarun, Penolong Pengarah Unit Perayaan dan Hari Kebesaran Islam di Bahagian Penyelidikan dan Informasi JHEAINS.
Sebelum ini amanah tersebut merupakan tugas saya selama 7 tahun (2007-2014) sebelum diamanahkan bertugas di jabatan lain. Justeru itu pengendalian mesyuarat serta tugasan persediaan sambutan hari kebesaran ini sememangnya amat dekat di hati saya.
Mesyuarat ini dipengerusikan oleh YB Datuk Haji Mohamad Ariffin Mohd Arif, Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri yang bertanggungjawab sebagai menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam Negeri Sabah.
Pada mesyuarat itu juga telah diputuskan bahawa tuan rumah sambutan Maal Hijrah tahun 1436H/2014M adalah di Daerah Papar, manakala Majlis Tahlil dan Doa Selamat sehari sebelum itu akan diadakan di Masjid Negeri Sabah dan juga Masjid Daerah seluruh Sabah.