MAJLIS PELANCARAN KEMPEN ANTI KUTU SAMPAH SARAP PERINGKAT DAERAH TELUPID 2014


     sampah6

Alhamdulillah baru sebentar tadi selesai melaksanakan tugas sebagai tuan rumah Majlis Pelancaran Anti Kutu Sampah Sarap Peringkat Daerah Telupid 2014 bertempat di Dewan Serbaguna Pekan Telupid.

Majlis ini dirasmikan oleh Yang Berbahagia Encik Abdul Rahman Datuk Haji Kongkawang, Pegawai Pembangunan Masyarakat yang mewakili Yang Berhormat Datu Seri Panglima Michael Asang, Pembantu Menteri Kewangan Sabah merangkap ADUN N40 Labuk.

Seramai 200 orang yang terdiri daripada ketua-ketua jabatan, pemimpin-pemimpian masyarakat, pelajar sekolah dan pengusaha premis perniagaan seperti restoran, bengkel, hotel dan tamu menghadiri majlis ini.

Selain itu, seramai 30 orang pelajar yang terlibat dalam Kelab Pencinta Alam Sekitar daripada SMK Telupid telah dilantik sebagai Rakan Anti Kutu Sampah. Mereka ini akan berperanan sebagai duta kecil yang kelak akan bergerak memberi kesedaran kepada pelajar lain dan masyarakat setempat mengenai anti kutu sampah. Mereka diminta melafazkan ikrar anti kutu sampah dan sedia menjalankan tugas secara sukarela.

Pada ucapan aluan tadi, saya telah menyentuh mengenai perlunya warga daerah ini agar menitikberatkan kebersihan kerana daerah ini telah dinaikkan statusnya menjadi daerah penuh sekaligus menjadi tumpuan orang ramai termasuk pelancong.

Saya tekankan, betapa masyarakat akan menerima kesan negatif sekiranya Pekan Telupid kotor kerana mengharapkan hanya pihak Majlis Daerah sahaja yang melakukan tugasan kebersihan tanpa kesedaran pihak warganya.

Saya berterimakasih kepada Majlis Daerah Beluran kerana inisiatif menganjurkan kempen ini, dan harapan saya agar kempen ini disusuli dengan tindakan penguatkuasaan undang-undang kutu sampah yang memperuntukkan denda RM500 kepada mereka yang pengotor!

8 september 2014sampah7

sampah2sampah9sampah10

Advertisements

SUNGAI MELOUT TAMBUNAN: ANUGERAH TUHAN YANG TIDAK TERNILAI


Sempena cuti raya tahun ini, saya mengambil kesempatan balik ke kampung halaman. Kampung yang menyimpan banyak nostalgia suka dan duka semasa kanak-kanak.

Kampung Melout, Kirokot Tambunan yang dulu didiami ramai warganya kini kian sepi. Ramai telah berhijrah ke merata tempat seperti Pekan Tambunan, Daerah Keningau, Daerah Tenom malah ke Daerah Papar dan Beaufort.
Namun, Alhamdulillah generasi kami masih kekal di kampung berkenaan.

Suatu yang paling dirindui mantan-mantan penduduk di kampung ini adalah sungainya. Sungai yang bersih, jernih, sejuk dan mendamaikan seakan-akan menarik semula generasi kembali ke lembah ini. Sememangnya penuh dengan nostalgia.

Syukur Alhamdulillah, sungai yang dianugerahkan oleh Allah SWT ini masih dalam keadaan semulajadi sekali pernah pun wujud pembalakan di bahagian ulu suatu ketika dulu. Kini kembali seperti asal.

Semoga sungai ini terus dipelihara jadi warisan generasi yang akan datang.

IMG-20140802-WA0004IMG-20140802-WA0008IMG-20140802-WA0029IMG-20140802-WA0018IMG-20140802-WA0015IMG-20140805-WA0049

DAERAH TELUPID AKAN BANGKIT MEMBANGUN


Telupid PanoramaSABAH BAH

Asal Usul Nama Daerah

Pada suatu ketika dahulu, di sepanjang Sungai Telupid terdapat sejenis pokok yang tumbuh dengan banyaknya yang dipanggil Tapid-Apid dalam bahasa penduduk tempatan dari suku kaum Dusun di Telupid pada ketika itu. Pokok tersebut digunakan oleh penduduk tempatan untuk keperluan harian mereka samada untuk tujuan aktiviti pertanian mahupun nelayan. Memandangkan pokok tersebut begitu dominan dalam kehidupan mereka; mudah diperolehi dan memudahkan aktiviti kehidupan harian mereka maka penduduk Daerah Kecil Telupid telah menamakan daerah ini mengambil sempena nama pokok tersebut dengan nama TELUPID.

Keluasan Dan Persempadanan Daerah

Luas Daerah Kecil Telupid ialah 1,935 kilometer persegi atau bersamaan dengan 747 batu persegi. Daerah ini bersempadan dengan Daerah Ranau di sebelah barat, Daerah Kecil Paitan di utara / timur laut, Daerah Beluran dan Daerah Kinabatangan di sebelah timur dan Daerah Tongod di Selatan. (1)

Menurut catatan wikipedia, Pekan Telupid dianggarkan 98 km dari pekan Ranau, 100 km dari pekan Beluran, dan 130 km dari bandar Sandakan.

Sejarah Pewujudan Daerah

Telupid mula diduduki seawal tahun 1940an dan merupakan kawasan laluan peristiwa bersejarah ‘Death March’ semasa Perang Dunia Kedua dalam tahun 1945. Daerah ini diwujudkan sekitar tahun 1965 iaitu selepas kira-kira tiga tahun Negeri Sabah diisytiharkan merdeka yang seterusnya menyertai pembentukan Malaysia. Pada ketika itu Telupid hanyalah merupakan sebuah perkampungan kecil yang didiami oleh suku kaum Dusun. Perkembangan pembangunan daerah ini bemula apabila Kerajaan Malaysia menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Australia menerusi projek pembinaan lebuhraya yang menghubungkan Telupid dengan Daerah Ranau yang dikenali dengan nama Malaysia-Australia Road Project (MARP) dalam tahun 1968. Pekan Telupid adalah lokasi utama pentadbiran dan pengurusan projek tersebut.

Jalinan kerjasama tersebut telah membawa pembangunan yang amat ketara dengan tumpuan di kawasan pekan. Bangunan-bangunan pejabat pentadbiran, bengkel dan rumah kediaman pegawai dan kakitangan telah dibina dengan begitu rapi yang mana sekaligus mengubah landskap pekan tersebut daripada sebuah perkampungan tradisional kepada sebuah penempatan ala moden pada ketika itu. Menariknya, pekan ini pernah mempunyai sebuah lapangan terbang berhampiran lebuhraya yang boleh digunakan untuk pesawat penerbangan kecil.

Tamatnya pembinaan lebuhraya Telupid-Ranau di bawah projek MARP tersebut telah membawa satu era baru yang mana Kerajaan Negeri pada ketika itu telah mengambil alih semua bangunan dan harta benda di bawah MARP dan diletakkan di bawah penggunaan dan pengawasan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang diwujudkan dan diberi tanggungjawab untuk mengambil alih tugas-tugas pemuliharaan dan pembaikan lebuhraya yang telah dibina.

Dalam tahun 1970an, melihat kepada kedudukan daerah ini di lokasi yang strategik iaitu laluan Timur – Barat Negeri Sabah, Kerajaan dibawah teraju kepimpinan Parti USNO pada ketika itu telah mengambil inisiatif mewujudkan Telupid kepada sebuah Daerah Kecil di bawah pentadbiran Pegawai Daerah Beluran, sebagai inisiatif membangunkan daerah tersebut. Jabatan Kerja Raya merupakan jabatan kerajaan yang terawal beroperasi di daerah ini disusuli dengan pengwujudan sebuah Pejabat Daerah Kecil dalam tahun 1977, yang berperanan dalam hal ehwal pentadbiran dan pembangunan daerah ini. Sejak itu, Telupid telah diisytiharkan sebagai sebuah Daerah Kecil dengan nama rasminya Daerah Kecil Telupid. (2)

Fasa Pembangunan Daerah Telupid

Pekan Beluran dan Telupid bakal mengalami perubahan berikutan cadangan membina lebih banyak kedai baharu selari dengan keperluan pembangunan di dua pekan itu.

Anggota Parlimen Beluran Datuk Ronald Kiandee berkata cadangan itu membabitkan pembinaan 395 unit kedai dengan kos pembinaan RM168 juta.

“Ia bukan sahaja bakal mengubah landskap pembangunan di kedua-dua pekan itu malah mampu merangsang pertumbuhan ekonomi penduduk setempat,” katanya selepas Majlis Sambutan Krismas dan Tahun Baharu Peringkat Daerah Telupid di Kampung Batu 4.

Ronald yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata ia antara lain membabitkan pembinaan 72 unit kedai di Pekan Beluran di kawasan Pelantong oleh Sedco, anak syarikat kerajaan negeri dengan fasa pertama 12 unit kini dalam pembinaan.

Beliau berkata Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) juga bercadang membina 19 unit kedai dua tingkat untuk fasa kedua di Pekan Telupid bernilai RM9.94 juta dan diikuti cadangan fasa ketiga, 126 unit kedai dua dan tiga tingkat bernilai RM66 juta.

Turut dilaksanakan di Pekan Beluran ialah Projek Muara Labuk membabitkan pembinaan 21 unit kedai bernilai RM13.4 juta oleh Perbadanan Pembangunan Bandar Sabah (SUDC) yang kini dalam pembinaan, katanya.

Ronald berkata pelaksanaan dan cadangan membina kedai di Pekan Beluran dan Pekan Telupid membuktikan kerajaan tidak mengabaikan kawasan luar bandar, sebaliknya prihatin untuk membangunkan kawasan itu. (3)

Telupid Diumum Sebagai Daerah Penuh

Penantian penduduk di daerah ini akhirnya menjadi kenyataan apabila Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman, mengumumkan secara rasmi Daerah Kecil Telupid sebagai daerah penuh.

Menurut beliau, penaiktarafan status daerah tersebut kepada daerah penuh adalah wajar memandangkan ia sudah mempunyai kelengkapan infrastruktur selain pertambahan jumlah penduduk yang semakin meningkat.

Beliau berkata, selain mengambil kira kedudukannya sebagai laluan utama dari Pantai Barat ke Pantai Timur Sabah maka sudah tiba masanya daerah ini berubah wajah sejajar dengan kepesatan pembangunan perdana.

Katanya, usaha meluluskan dan sekali gus menaiktaraf Telupid sudah pun lama diputuskan tetapi hanya menunggu masa sesuai untuk mengumumkannya.

“Kita sedar Telupid sudah memiliki infrastruktur yang lengkap manakala penduduknya pula semakin hari semakin bertambah … usaha ini juga adalah merupakan janji Barisan Nasional (BN) melalui tiga pemimpin di kawasan ini.

“Inilah janji ditepati yang diamalkan BN ingin melihat apa jua keperluan rakyat sentiasa didahulukan,” jelasnya.

Musa menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Pekan Telupid, di sini, kelmarin.

Hadir sama ialah calon BN Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee; calon BN kawasan Labuk, Datuk Seri Michael Asang; calon BN kawasan Sugut, Datuk James Ratib dan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah, Datuk Osman Jamal.

Pada majlis itu, seramai 122 penduduk kampung masing-masing menerima geran komunal disampaikan Musa.

Penerima terbabit adalah mewakili Kampung Wonod dengan 77 geran, Kampung Bauto (lima geran), Kampung Gambaron (tujuh geran), Kampung Telupid Batu 4 (empat geran) dan selebihnya 29 geran lagi kepada Kampung Taviu.

Musa yang juga Pengerusi BN Sabah berkata dengan pemberian geran komunal bagi peringkat fasa 1 itu membuktikan bahawa kerajaan mengambil berat terhadap permohonan tanah yang melibatkan mereka masih belum mempunyai tanah.

“Kita sentiasa berusaha untuk memastikan rakyat memiliki tanah supaya mereka dapat mengusahakannya untuk meningkatkan taraf hidup.

“Tanah yang diberikan ini sebelumnya adalah berstatus hutan simpan tetapi dibubarkan dan diberikan kepada penduduk,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap penduduk kampung yang mendapat pemberian tanah supaya tidak menjualnya kepada sesiapa sebaliknya memanfaatkan demi masa depan anak- anak.

Beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Tanah dan Ukur melalui Unit Gerak Khas yang pantas dan cepat untuk mengeluarkan geran-geran komunal ini kepada rakyat.

Menurutnya, ia bukti keikhlasan dan keprihatinan kerajaan BN dalam meningkatkan kehidupan rakyat terutamanya di kawasan luar bandar menerusi usahanya membela nasib semua golongan. (4)

Rungutan Masyarakat Tentang Bekalan Petrol dan Diesel

Ketika pengguna di sekitar bandar lega dengan penurunan harga bekalan minyak diesel dan petrol tetapi lain pula ceritanya di Pekan Telupid yang terpaksa membayar lebih tinggi dari pembekal runcit bebas.

Ia didakwa pengguna kerana kegagalan sebuah pam stesen di pekan yang terletak kira-kira 100 km dari bandar ini yang merupakan satu-satunya stesen minyak di pekan tersebut, telah berhenti membekalkan kepada pengguna dalam tempoh seminggu ini.

Raymond seorang kakitangan pendidik di daerah ini memberitahu harga yang dikenakan oleh pembekal bebas melebihi harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan apabila mengambil untung dari pengguna berganda.

“ Sekarang harga yang pembekal bebas kenakan kepada kami bagi seliter adalah RM2.70 sen bagi Petrol dan RM2.60 sen bagi disel,” katanya

Menurut beliau mereka terpaksa menggunakan khidmat pembekal bebas yang beroperasi di pekan Telupid yang menggunakan drum sebagai menyimpan bekalan bahan bakar itu sebelum di jual kepada pengguna.

Katanya ketiadaan bekalan bahan bakar yang dibekalkan dari stesen yang merupakan satu-satunya pusat stesen minyak di pekan yang menjadi persinggahan bagi penguna jalan raya dari bandar seperti Tawau, Lahad Datu dan Sandakan ke Kota Kinabalu amat membimbangkan penguna.

Sehubungan itu, kakitangan penguat-kuasa agensi berkaitan terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehawal Pengguna supaya turun ke daerah berkenaan dan dapat memantau serta mengatasi masalah kekurangan bekalan itu di daerah ini.

“Kami amat berharap agar masalah ini dapat diatasi, seboleh-bolehnya stesen minyak di tambah serta beroperasi semula kerana ketiadaan stesen lain telah mengundang masalah kehabisan bekalan bahan ini,” katanya sambil berharap agensi berkaitan dapat menangani masalah yang mereka hadapi kelak. (5)

Rujukan:

(1). http://www.sabah.gov.my/pd.tlp/Index.html

(2). http://www.sabah.gov.my/pd.tlp/Sejarah.html

(3). http://www.umno-online.my/?p=75639

(4). http://www.newsabahtimes.com.my/nstweb/fullstory/68135

(5). http://ajinbgagah.blogspot.com/2008/12/harga-petrol-diesel-di-pekan-telupid.html

Rujukan Lain:

http://myksosial.wordpress.com/2009/03/02/pekan-telupid/

https://abunuha.wordpress.com/tag/telupid/

http://sahabatblogsabah.blogspot.com/2012/04/pekan-telupid.html

MAJLIS HARI TERBUKA MALAYSIA TADAU KAAMATAN 2014


20140614_114837

Tika hujung minggu, saya berkesempatan untuk membawa keluarga untuk melawat Tapak Majlis Terbuka Malaysia Tadau Kaamatan Peringkat Kebangsaan 2014 yang diadakan di Kompleks Sukan Keningau.
Kebetulan majlis ini diadakan berhampiran dengan rumah kediaman di Keningau, maka tidaklah terlalu gopoh untuk datang bertandang.

Kemuncak majlis ini adalah pada 14 Jun 2014, dan pada mulanya majlis ini diwar-warkan akan dihadiri oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia namun pada saat akhir diwakilkan kepada YAB Ketua Menteri Sabah untuk majlis perasmian penutupan.

Pada sebelah pagi, sempat meninjau beberapa booth pameran yang terletak di dalam kawasan Padang Kompleks Sukan. Kebanyakan booth pameran di kawasan ini adalah dikhaskan kepada jabatan-jabatan kerajaan negeri dan persekutuan, kementerian dan swasta. Selain itu juga booth khas untuk kraftangan produk tempatan banyak mewarnai pameran. Saya lihat usaha murni ini amat wajar diteruskan agar karftangan produk tempatan dapat di martabatkan dan diketengahkan di persada global. Dalam hal ini, sekalung penghargaan kepada Yayasan Sabah di atas inisiatif berkenaan.

Manakala gerai-gerai jualan telah diletakkan di sepanjang jalan Kg. Keningau. Saya kira adalah sekitar 200 meter gerai jualan kiri dan kanan sepanjang jalan tersebut. Tahniah kepada pihak Majlis Daerah Keningau dengan susunan gerai julan tersebut.

Saya difahamkan pada sebelah malam, majlis ini akan dihadiri sekitar 20 ribu orang dari seluruh pelusuk negeri sabah. Secara tidak langsung ini akan meningkatkan ekonomi setempat bukan sahaja untuk pengusaha gerai jualan, pameran malahan para pengusaha hotel dan homestay akan mendapat limpahan pengunjung. Tidak terkecuali pengusaha restoran, gerai dan pasar malam. Kesimpulannya, usaha menganjurkan apa juga acara besar yang memberi impak pulangan ekonomi setempat amatlah disokong penuh.

Juesteru itu sebelum apa juga acara besar seumpama ini diadakan di mana-mana daerah, saya berpendapat kesiap-siagaan masyarakat setempat mempamer dan menjual produk mereka perlu ada. Wajar difikirkan kursus, produk-produk baru dan inovasi terkini untuk warga setempat.

Akhir kata:
Saya amat tertarik dengan inovasi untuk menanam halia menggunakan kaedah fertigasi. Bukan sahaja kelihatan subur malah kualiti juga amat baik.

20140614_115141

20140614_115224

20140614_115505 20140614_115509

20140614_115624

20140614_115927

20140614_115938  20140614_121502

20140614_121516

20140614_121654

20140614_121712