MESYUARAT PERSEDIAAN SAMBUTAN MAAL HIJRAH PERINGKAT NEGERI SABAH 1436H/2014M


20140905_091004

Alhamdulillah hari ini saya menghadiri Mesyuarat Persediaan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah 1436H/2014M yang diadakan di Bilik Madani Wisma MUIS Kota Kinabalu.

Kali ini, urusetia mesyuarat ini telah diamanahkan kepada sahabat saya Tuan Haji Sotimin Sarun, Penolong Pengarah Unit Perayaan dan Hari Kebesaran Islam di Bahagian Penyelidikan dan Informasi JHEAINS.

Sebelum ini amanah tersebut merupakan tugas saya selama 7 tahun (2007-2014) sebelum diamanahkan bertugas di jabatan lain. Justeru itu pengendalian mesyuarat serta tugasan persediaan sambutan hari kebesaran ini sememangnya amat dekat di hati saya.

Mesyuarat ini dipengerusikan oleh YB Datuk Haji Mohamad Ariffin Mohd Arif, Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri yang bertanggungjawab sebagai menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam Negeri Sabah.

Pada mesyuarat itu juga telah diputuskan bahawa tuan rumah sambutan Maal Hijrah tahun 1436H/2014M adalah di Daerah Papar, manakala Majlis Tahlil dan Doa Selamat sehari sebelum itu akan diadakan di Masjid Negeri Sabah dan juga Masjid Daerah seluruh Sabah.

20140905_091017 IMG_15730793133062 IMG_15733811026813 IMG_15935961795870

MARTABAT TAQWIM HIJRAH


JIKA ditanya tarikh bulan Islam, ramai yang menjawab tergagap-gagap. Jika tahu pun, kemungkinan hari itu jatuh pada hari kebesaran Islam seperti Aidilfitri (1 Syawal), Aidiladha (10 Zulhijjah), Maulidur Rasul (12 Rabiulawal) dan Awal Muharam (1 Muharam).

Kita terpaksa mengakui ramai lebih tahu kalendar masihi berbanding bulan Islam disebabkan terlalu mengagung-agungkan bulan terbabit berbanding bulan Islam.

Justeru, amat sesuai tarikh hari ini (1 Muharam 1431 hijrah) iaitu tahun baru dalam kalendar Islam kita meningkatkan kesedaran serta penghayatan terhadap taqwim hijrah.

Setiap kali tahun baru, kita tidak pernah terlepas menyatakan azam. Memang tiada seorang pun mahu mahu terus berada dalam kepayahan.

Sempena kehadiran bulan Muharam, fokusnya tertumpu kepada peristiwa agung penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w, bermula dari kota Makkah ke Madinah.

Rentetan sejarahnya nampak mudah tetapi jika diamati, ia menggambarkan pengorbanan, kesanggupan, kesusahan, ketaatan dan kekuatan iman yang dipamerkan umat Islam yang dipimpin Nabi Muhammad s.a.w. Penghijrahan itu memberi impak besar dalam perkembangan Islam.

Mereka sanggup meninggalkan harta benda, rumah, isteri, anak-anak malah mempertaruhkan nyawa sendiri demi melakukan hijrah dan menegakkan agama Allah.

Dalam penghijrahan itu umat Islam terpaksa menanggung pelbagai peristiwa getir kerana gerak geri mereka sentiasa diperhatikan kaum kafir Quraisy.

Allah s.w.t berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud: “…(Juga) bagi orang fakir yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan dari harta benda mereka (kerana) mencari kurniaan daripada Allah dan keredaan-Nya dan mereka menolong Allah dan Rasul-Nya. Mereka itulah orang-orang yang benar.” (Surah al-Hasyr ayat 8).

Golongan kafir Quraisy menyedari jika tersebarnya agama Allah di muka bumi Makkah, ia akan merumitkan kebebasan mereka melakukan kezaliman seperti menipu, rasuah, zina, meminum arak, berjudi dan memperalatkan wanita.

Justeru, Rasulullah s.a.w melancarkan seruan dakwah dengan dua keadaan iaitu secara rahsia (sir) dan terbuka.

Maka bermula penentangan hebat yang menyaksikan pelbagai bentuk penindasan serta perpecahan di antara penduduk Makkah. Kebangkitan Islam di Makkah semakin memuncak sehingga penentangan mereka terhadap golongan kafir Quraisy menjadi-jadi.

Pembesar Quraisy tidak senang duduk melihat kebangkitan itu lalu menanam benih keraguan di hati masyarakat Makkah. Mereka turut mengaburi mata masyarakat dengan pelbagai ganjaran seperti wanita cantik, harta dan pangkat.

Malah, perkara itu turut ditawarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w sebagai syarat menghentikan gerakan dakwah.

Apabila umat Islam memiliki kesungguhan untuk mengubah diri mereka, Allah pasti memberikan pertolongan terhadap hamba-Nya. Firman Allah s.w.t dalam al-Quran yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” (Surah Muhammad ayat 7).

Penghijrahan Rasulullah s.a.w itu akhirnya membuahkan hasil apabila mengubah segala pengalaman lampau seperti permusuhan, kejahilan serta kemunduran kepada penyatuan persaudaraan, masyarakat berilmu dan berkeperibadian tinggi serta rancak dengan limpahan kemajuan.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Dan, orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang sudah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.” (Surah al-Hasyr ayat 9).

Namun, di sebalik kesukaran berhijrah, ia memberi pengajaran mendalam kepada umat Islam. Di Madinah, tugas pertama Nabi Muhammad s.a.w adalah menyatukan persaudaraan antara kaum Muhajirin dan Ansar.

Baginda seterusnya mengasaskan masjid pertama sebagai tempat ibadat, penyebaran ilmu serta tempat penyatuan hati umat Islam. Nama Yathrib ditukar kepada Madinah al-Munawwarah yang bermaksud bandar yang bercahaya serta memeterai piagam Madinah.

Nabi Muhammad s.a.w menjalinkan hubungan antara kabilah serta penduduk tempatan selain merangka kaedah membasmi kemiskinan dan memperkukuhkan tahap keselamatan negara.

Keadaan inilah yang dimanfaatkan Rasulullah s.a.w. dan sahabat r.a. mengerah usaha menyeru manusia kepada Islam sehingga akhirnya Islam tersebar ke seluruh dunia.

Saidina Umar r.a mengungkapkan kata yang bermaksud: “Celakalah bagi orang Muslim yang hari ini lebih buruk dari hari semalam dan hari esoknya lebih buruk dari hari ini.”

Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Badli Shah Alauddin, berkata tahun hijrah dipilih tahun permulaan Islam berdasarkan strategi serta perancangan hebat peristiwa itu.

“Kenapa tidak dipilih hari kebesaran Islam lain sebagai tahun permulaan hijrah? Ini disebabkan peristiwa hijrah lambang kesungguhan dan pengorbanan umat Islam Makkah yang sanggup menggadai nyawa, meninggalkan segala harta benda untuk mencari keredaan Allah.

“Kemudian peristiwa hijrah ini menarik bukan kerana ia sarat dengan sejarahnya tetapi dengan ‘pelancaran’ strategi yang bijak serta terancang,” katanya.

Katanya, umat Islam jangan menjadikan peristiwa hijrah ini satu catatan sejarah saja tanpa mengambil inti patinya.

“Peristiwa hijrah ini membuktikan Nabi Muhammad sanggup bersama-sama berkorban mengharungi kepayahan.

“Jika diikutkan statusnya sebagai kekasih Allah s.w.t, Nabi Muhammad s.a.w boleh membuat ‘permintaan khas’ bagi melakukan tugas sukar itu dengan mudah. Ini dibuktikan dalam peristiwa Israk bagaimana Nabi Muhammad naik ke langit dengan menunggang binatang digelar Buraq,” katanya.

Beliau berkata, peristiwa itu mempunyai simbolik terhadap kerjasama erat antara umat Islam dan bukan Islam.

“Ini dikaitkan dengan pembabitan Abdullah bin Arqat yang menjadi penunjuk jalan dalam perjalanan bertolak ke Madinah. Jalan yang dilalui pula bukan jalan biasa kerana Abdullah memang mahir selok belok laluan berkenaan bagi mengelak dihidu kafir Quraisy yang sentiasa meneliti pergerakan Nabi Muhammad s.a.w,” katanya.

Biarpun beribu bertahun lamanya peristiwa itu, ia tetap dikenang umat Islam sebagai bukti kejayaan.

Jangan bangga dengan nama Islam tetapi tidak menjiwai watak sebenar seorang Muslim sejati.

Jadikan roh kejayaan Nabi Muhammad s.a.w pada tahun hijrah ini sebagai detik bermulanya ‘perjuangan’ yang tidak ada penghujungnya iaitu perubahan seluruh jiwa ke arah kebaikan.

SUMBER: Harian Metro

MAJLIS DOA AKHIR DAN AWAL TAHUN HIJRAH


Tanpa disedari, kini kita berada di Tahun Baru Hijrah 1431.

Sememangnya berlaku perbezaan antara pertukaran tahun mengikut Kalendar Hijrah dengan Kalendar Masihi.

Pada Kalendar Hijrah (sesetengah orang menyebutnya sebagai  Hari Bulan Melayu) pertukaran tahun atau waktu adalah berdasarkan waktu maghrib atau terbenam matahari. Manakala Kalendar Masihi pertukaran tahun berdasarkan jam 12 tepat atau selangkahnya.

Umat Islam akan merayakan pertukaran tahunnya dengan doa akhir dan awal tahun. Selebihnya dengan solat hajat dengan harapan setahun mendatang yang dilalui dipenuhi dengan keselamatan dan berkat. Dan, inilah tuntutan Islam.

Sebaliknya sambutan tahun baru masihi disambut dengan tarian, bunga api dan pelbagai acara yang berbentuk hiburan.

Malah, sesetengah masyarakat kita pula berbondong-bondong ke laut  atau sungai untuk mandi tepat pada jam 12 malam, kononnya untuk buang sial!!

Hakikatnya antara dua perbezaan situasi di atas, kira-kiranya  mana satu yang sekian kalinya mendapat sambutan generasi kini? …

Majlis Doa Akhir dan Awal Tahun Hijrah sempena Sambutan Ma`al Hijrah 1431H

Sambutan Tahun Baru Masihi - Sekadar gambar Hiasan