LAWATAN YB DATUK NASIR KE USIA BAHAGIAN TAMBUNAN


Alhamdulillah untuk kesekian kalinya USIA Bahagian Tambunan dikunjungi para pimpinan USIA Pusat. Menunjukkan bahagian ini sememangnya antara bahagian yang mendapat perhatian serius di kalangan pimpinan pusat.

Kali ini, Bahagian ini dikunjungi oleh YB Datuk Haji Nasir Tun Sakaran.

YB Datuk Haji Nasir merupakan Naib Yang Di-Pertua USIA Pusat merangkap Menteri di-Jabatan Ketua Menteri. Beliau juga merupakan menteri yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal agama Islam di negeri ini.

Lawatan beliau disertai bersama Ybhg. Datuk Haji Abdullah Hussin selaku Setiausaha Agung USIA Sabah, Ybhg. Tuan Haji Mohd Said Hinayat selaku Setiausaha Rendah Jabatan Ketua Menteri dan rombongan lain.

Pada pertemuan dengan AJK USIA Bahagian, YB Datuk banyak memberikan kata-kata semangat agar pimpinan bahagian terus meningkatkan gerakan untuk memasyarakatkan USIA di seluruh pelusuk daerah ini.

Beliau juga menyatakan lawatan tersebut diadakan untuk mengetahui lebih dekat perkembangan aktiviti yang dianjurkan oleh USIA bahagian ini.

Beliau sempat menghimbau penat jerih perjuangan para aktivis USIA sejak 41 tahun lalu yang akhirnya menjadikan Islam sebagai agama rasmi di Negeri Sabah.

Sudah menjadi tanggungjawab umat ini meneruskan perjuangan dakwah yang dirintis oleh Allahyarham Tun Mustapha agar Islam dan Umatnya terus terbela.

Beliau juga memuji tindakan proaktif USIA Bahagian Tambunan kerana satu-satunya bahagian yang memanfaatkan sepenuhnya teknologi maklumat untuk menyampaikan dakwah. Bahagian ini pada laman web ada menyediakan perkhidmatan borang untuk menjadi ahli USIA.

Semoga pertemuan ringkas bersama YB Datuk Haji Nasir bersama rombongannya ke bahagian ini mampu mengeratkan ikatan ukhuwah Islamiah. Amin Ya Rabb!

Advertisements

SABAH TUAN RUMAH MAJLIS TILAWAH AL-QURAN PERINGKAT KEBANGSAAN KALI KE-53, 2010


Untuk kesekian kalinya Negeri Sabah menjadi tuan rumah bagi Penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-53.

Majlis ini akan diadakan pada 29 Jun – 03 Julai 2010, bertempat di Dewan Saadah Wisma MUIS, Kota Kinabalu.

Tahun ini merupakan kali ketiga Negeri Sabah menjadi tuan rumah setelah pernah mendapat kepercayaan pada tahun 1989 (Lokasi: Stadium Likas) dan tahun 2000 (Lokasi: Dewan Saadah Wisma MUIS).

Hingga kini, setiap jawatankuasa sedang giat membuat persediaan rapi untuk menghadapi majlis yang berprestij bagi umat Islam di negara ini. Ianya akan disiarkan secara langsung oleh televisyen dan radio RTM.

Menurut jawatankuasa kerja sambutan awam, Ybhg. Datuk Haji Nordin Siman kehadiran ke majlis ini dijangka menjangkau sekitar 9000 ribu orang pada malam perasmian dan penutupan. Manakala malam-malam berikutnya dijangka dihadiri sekitar 5000 orang setiap malam.

Perasmian akan disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, manakala majlis penangguhan akan disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Tun, Yang di-Pertua Negeri Sabah.

Semoga kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan pusat kepada negeri ini mampu diterjemahkan dengan penganjuran yang terbaik. Seterusnya menjadi role model kepada negeri lain kelak. InysaAllah.

Sebuah blog telah diwujudkan sebagai wasilah penyampaian berita terkini mengenai MTQ Kebangsaan ini. Klik di sini!

TAMBAH NILAI CELCOM RM10.50


Sebentar tadi sesudah balik kerja, bersama dengan sahabat saya  Aslee Keek Wahab berkunjung ke Bangunan Centre Point, Kota Kinabalu.

Selepas  memenuhi apa yang dihajati, singgah sebentar di kedai menjual reload untuk kegunaan sendiri.

Saya memesan kad prabayar berharga RM10.00. Dan kebiasaannya, penjual dan pembeli tanpa banyak soal sepakat harganya memang RM10.00 (Ringgit Malaysia: Sepuluh Sahaja).

Namun, selepas menghulurkan RM 10.00, penjual sekali lagi meminta tambahan RM0.50 (Sen: Lima Puluh). Bererti harga reload tersebut adalah sebanyak RM10.50!

Saya tanya taukeh kenapa mesti bayar lebih. Dia menjawab dengan jawapan yang saya pun tidak berapa faham malah tidak ambil tahu pun. Saya juga sempat mengajukan pertanyaan adakah mereka mendapat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna. Hanya senyuman sinis tanpa jawapan yang dihulurkan!

Setahu saya, perbuatan menaikkan harga reload ini telah pun mendapat liputan dan bantahan awam suatu ketika dulu. Sebagai bukti dan fakta lihat Utusan Malaysia bertarikh 11/02/2008!

Hakikatnya, apalah juga banyaknya dengan tambahan RM0.50 tersebut!. Cuma sikap sesetengah penjual yang mengambil kesempatan itulah dikesali. Bukankah keuntungan jualan sudah pun diperolehi pada harga yang ditetapkan.

Mungkin perlu bagi pihak berkaitan menjalankan intipan dan penyamaran untuk membendung kegiatan tidak sihat di kalangan penjual ini.  Manakala penjual yang didapati menaikkan harga reload tersebut dengan sesuka hati boleh didakwa di bawah Seksyen 12, Akta Perlindungan Pengguna (APP) 1999 boleh didenda maksimum RM50,000!

Petikan berita:

Harian Metro : Kad tambah nilai masih dijual mahal

Thursday, 10 September 2009 12:12

KUALA LUMPUR: Degil ungkapan tepat menggambarkan sikap segelintir peniaga di Perhentian Puduraya di sini, yang masih menjual kad tambah nilai pada harga lebih mahal daripada ditetapkan di pasaran.

Walaupun berulang kali dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, kebanyakan peniaga ini biasanya akan menjual kad tambah nilai talian telefon prabayar bernilai RM10 pada harga melebihi ditetapkan iaitu pada kadar RM10.50 atau RM11 berbanding harga siling ditetapkan.

Tinjauan Harian Metro tengah hari semalam, mendapati kebanyakan peniaga wanita yang kebanyakan warga asing menjual kad tambah nilai itu pada harga melampau.

Sepanjang dua jam menjalankan penyamaran, lima dari enam peniaga yang didekati didapati menjual kad prabayar itu melebihi nilai ditetapkan.

Wartawan Harian Metro yang mempersoalkan tindakan peniaga terbabit bagaimanapun, dicemuh dengan kata-kata antaranya: “Kalau nak murah…awak pergi cari kedai lain..di sini (Puduraya) semua jual harga sama.”

Seorang lagi peniaga yang dihampiri memberitahu terpaksa menjual kad tambah nilai pada harga RM10.50 kerana mereka hanya mendapat keuntungan 10 sen sahaja bagi setiap keping kad tambah nilai yang dijual pada harga RM10 sahaja.

“Tauke kata untung 10 sen itu sikit sangat. Kalau jual 50 keping sehari pun…tak balik modal. Kalau abang nak beli saya cuma boleh bagi RM10.50 sahaja,” kata seorang gadis Indonesia.

Gadis terbabit yang sudah dua tahun bekerja sebagai pembantu gerai di Puduraya mendakwa diarahkan majikannya menjual kad prabayar pada harga lebih 50 sen atau RM1 mengikut suasana semasa.

“Jika tuan punya kedai menjual makanan ringan lain menaikkan harga, kami juga terpaksa ikut sama menaikkan harga kad tambah nilai,” katanya.

Sepanjang dua jam melakukan penyamaran, wartawan Harian Metro menghabiskan RM43 bagi membeli empat keping kad tambah nilai pelbagai syarikat telekomunikasi melalui empat jurujual berasingan.

Sementara itu Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan, Othman Nawang berkata, pihaknya kerap menerima aduan daripada pengguna berhubung penipuan harga kad tambah nilai berkenaan dan tindakan sudah diambil.

Menurutnya, berdasarkan maklumat diperoleh, seramai 10 pegawai KPDNHEP yang dipecahkan kepada tiga pasukan membuat serbuan serentak di perhentian Puduraya, kelmarin.

Dalam serbuan jam 11 pagi itu, seramai tiga peniaga di kawasan terbabit ditahan dan disoal siasat selepas didapati menjual kad tambah nilai melebihi harga pasaran ditetapkan.

“Siasatan sebelum ini mendapati kebanyakan peniaga berkenaan masih berdegil dan menjual kad tambah nilai pada harga melampau walaupun pernah diberi amaran berulang kali.

“Berikutan itu, pegawai KPDNHEP yang menjalankan pemeriksaan merampas 439 keping kad tambah nilai pelbagai nilai yang semuanya berjumlah RM4,420,” katanya.

Difahamkan individu atau syarikat yang menjual kad tambah nilai atau prabayar pada harga melebihi ditetapkan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 atau Akta Perihal Dagangan 1972 yang boleh dikenakan hukuman dengan tidak lebih RM100,000.

“Pihak KPDNHEP akan meneruskan operasi dan mengambil tindakan terhadap peniaga yang melakukan kesalahan berkenaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pejabat KPDNHEP Wilayah Persekutuan untuk siasatan lanjut,” katanya.